Monday 8 April 2013

Sahih: Pembangkang Copy Paste Manifesto BN!



Ketepatan dan terperincinya akujanji yang dibuat oleh Barisan Nasional telah menyebabkan Pakatan Pembangkang (PP) hilang arah dan mula menuduh BN meniru manifesto mereka.  Memang terdapat topik-topik yang diutarakan dalam Manifesto Pakatan turut disebut dalam Manifesto BN seperti harga kereta, pemberian bantuan kepada orang miskin, sistem pendidikan, kos sara hidup adalah isu universal. Antara tuduhan mengatakan Manifesto BN meniru Manifesto Pakatan adalah:

Dakwaan 1: Harga Kereta

Manifesto PP: Cukai eksais kereta akan diturunkan secara berperingkat dengan tujuan menghapuskannya dalam tempoh 5 tahun agar harga kereta lebih berdaya saing. Mewujudkan industri automotif negara yang benar-benar berdayasaing dan boleh mengeluarkan kereta pada harga serendah RM25,000 sebuah.

Manifesto BN: Menyemak semula Dasar Automotif Nasional bagi mengurangkan harga kereta secara berperingkat-peringkat antara 20 hingga 30 peratus serta meningkatkan daya saing kereta nasional.

Fakta: Kerajaan telah mengumumkan Dasar Automatif Negara yang dikaji semula pada 2009 yang antara lain menyatakan “Adalah menjadi keutamaan kepada MITI dalam mempromosikan perdagangan antarabangsa yang bebas dan menguntungkan negara. Di bawah Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA), Malaysia komited untuk mengurang atau menghapuskan duti import semasa secara berperingkat.” Ini bermakna kerajaan sejak 2009 telah merancang  pengurangan harga kereta secara berperingkat. Jika pengenalan Dasar Automatif Nasional 2006 dan 2009 yang diperkenal kerajaan diambil kira, maka jelas peniru sebenar ialah Pakatan Rakyat.


Dakwaan 2:  Dasar Perumahan

Manifesto PP: 150,000 rumah mampu milik dalam kategori kos rendah (bawah RM75,000) dan kategori kos sederhana (antara RM150,000 hingga RM250,000) akan dibina dalam tempoh penggal pertama pentadbiran Pakatan Rakyat.

Manifesto BN: Membina 1,000,000 rumah mampu milik – digerakkan oleh sector awam dan swasta  termasuk 500,000 buah rumah PR1MA

Fakta: Kerajaan telah mempunyai Dasar Perumahan Negara mampu milik sejak tahun 2000 lagi melalui penubuhan Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB). Malahan pada 2008, Tahun 2008, SPNB telah berjaya melancarkan 24 buah projek perumahan di seluruh negara dengan menawarkan sebanyak 21,891 unit rumah pelbagai jenis di bawah program Rumah Mampu Milik. Malahan PM Razak telah melancarkan Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) Berhad telah ditubuhkan selaras dengan Akta PR1MA 2012. PR1MA bertanggungjawab untuk merancang, membangun, membina dan menyenggara perumahan gaya hidup berpatutan untuk rakyat berpendapatan sederhana di kawasan bandar-bandar utama. Pendapatan sederhana didefinisikan sebagai pendapatan bulanan isi rumah (suami dan isteri) antara RM2,500 hingga RM7,500.00. Apa yang terdapat dalam Manifesto BN sebenarnya merupakan kesinambungan program kerajaan sedia ada. Yang meniru sebenarnya siapa?  Tidak malukah Pakatan mahu mendakwa idea mereka?

Dakwaan 3:  Keretapi Laju

Manifesto PP: Memulakan langkah kearah membina sistem keretapi laju antara bandar yang pertama di rantau Asia Tenggara.

Manifesto BN: Melaksanakan rangkaian rel berkelajuan tinggi dan memperluaskan system landasan keretapi berkembar

Fakta: Pada 1995, Perdana Menteri Malaysia, Dr Mahathir Mohamad dalam Sidang Kemuncak ASEAN Ke-5 telah mencadangkan pembinaan sebuah landasan kereta api yang bermula dari Singapura dan melintasi Malaysia, Thailand, Vietnam, Myanmar, Kemboja hingga ke Kunming, ibu kota provinsi Yunnan China. Pemimpin pelbagai negara ASEAN dan China telah menyatakan persetujuan terhadap cadangan tersebut. Cadangan rel keretapi laju telah diumumkan sejak beberapa tahun lalu. Jadi idea siapa ini? Idea BN atau Pakatan? Buatlah kajian sedikit, jangan main hentam keromo sahaja.

Dakwaan 4: Lebuhraya Sabah dan Sarawak

Manifesto PP: Memulakan pembinaan lebuh raya merentasi Sabah dan Sarawak yang menghubungkan Kuching ke Kota Kinabalu dan Kudat
 
Manifesto BN: Membina 2,300km Lebuh Raya Pan Borneo bermula dari Sematan di Sarawak hingga ke Serudung di Sabah

Fakta: Lebuh Raya Pan Borneo telah dirancang sejak 1970-an dan sebahagiannya telah disiapkan. Akibat kemelesetan ekonomi Kerajaan menangguhkan sebahagianny. Pada Februari 2012, Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Shaziman Mansor memaklumkan Kerajaan Persekutuan akan mengaktifkan semula kerja menaik taraf Lebuhraya Pan Borneo yang menelan belanja RM423 juta yang diluluskan di bawah Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10). 

Dakwaan 5: Royalti Petroleum

Manifesto PP: Menaikkan royalty kepada negeri-negeri pengeluar minyak dan gas dari 5% ke 20%.

Manifesto BN: Meneruskan bayaran tunai khas dan pemberian dana untuk perbelanjaan operasi dan pembangunan sehingga melebihi 20% daripada perolehan minyakdan gas kepada Sabah, Sarawak, Terengganu, Kelantan dan Pahang

Fakta: Tidak ada janji Pakatan untuk menaikkan royalti minyak dalam Manifesto Pakatan Rakyat.  PR akui kesilapan royalti minyak tertinggal. Namun jika Pakatan membawa masuk pun dalam Manifesto mereka yang telah diubah, ia tidak menjejaskan apa-apa kerana BN sejak dahulu telah menegaskan bahawa sungguhpun  bayaran royalti hanya 5% kepada negeri pengeluar minyak dan gas namun peruntukan yang mereka terima setiap tahun kadang-kadang boleh mencecah sehingga 20% daripada hasil keuntungan minyak negeri tersebut. Ini bermakna apa yang dijanji oleh BN dalam manifesto hanyalah memperkukuhkan apa yang dibuat sebelum ini secara aku janji.
 
Dakwaan 6: Permit Teksi

Manifesto PP: Permit teksi akan diberikan terus kepada pemandu teksi dengan tujuan melahirkan lebih ramai usahawan teksi.

Manifesto BN: Meningkatkan jumlah permit teksi individu

Fakta: Tiada sebarang peniruan dalam dakwaan ini kerana Manifesto BN  hanya menjanjikan untuk meningkatkan jumlah permit teksi individu bukannya menghapuskan permit teksi syarikat. Malahan dalam sidang Dewan Rakyat Oktober 2012, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan telah menyatakan bahawa kerajaan bercadang untuk memberi sejumlah permit teksi kepada individu yang layak dalam usaha membaiki sistem penyewaan teksi. Hasilnya pada Mac 2013 yang lalu kerajaan telah meluluskan 1,000 permit teksi individu. Malahan mereka ini telah diberi geran RM5,000 bagi pembelian Proton Exora. Bagaimana sesuatu yang telah kerajaan janjikan sejak tahun lalu dan dilaksanakan tahun ini dianggap meniru manifesto Pakatan yang baru dilancarkan tahun ini?

Dakwaan 7: “Pengkalan” Data

Manifesto PP: Mewujudkan sistem pengkalan data nasional bersepadu mengenai maklumat sosio ekonomi rakyat dengan menggabungkan semua maklumat sedia ada yang kini diuruskan secara berasingan oleh pelbagai agensi dan badan.

Manifesto BN: Memperhalusi dan menambahbaik jaringan bantuan keselamatan menerusi sistem pangkalan data yang bersepadu.

Fakta: Pertamanya, manifesto BN bercakap soal manambaihbaik sistem yang sedia ada, sebaliknya Pakatan bercakap soal mewujudkan sistem pangkalan (bukan pengkalan lah beb) data nasional bersepadu mengenai sosio ekonomi rakyat. Sebenarnya apa yang dicadangkan oleh Pakatan telah wujud melalui pangkalan data E-Kasih, Jabatan Statistik. Jadi siapa tiru siapa lagi?

Dakwaan 8: Tanah Wakaf

Manifesto PP: Menambah nilai tanah-tanah wakaf demi menjana kebajikan ekonomi untuk rakyat

Manifesto BN: Menjana pendapatan daripada pembangunan tanah wakaf dengan kerjasama Pihak Berkuasa Agama Negeri-Negeri

Fakta: Kerajaan telah memperkatakan pembangunan tanah wakaf dalam bajet 2013 lagi pada Oktober tahun lalu. Malahan perbincangan pembangunan tanah wakaf telah dibuat oleh agensi kerajaan sejak tahun 2011 lagi. Jadi BN sekadar mengukuhkan lagi pelan yang dirancang dengan aku janji manifesto.  Bukankah ini bermakna Manifesto Pakatan sebenarnya yang menciplak dan meniru idea BN dan melancarakan lebih awal?

Dakwaan 9: Pakej Penggajian Baru

Manifesto PP: Pakej penggajian baru yang menggabungkan prinsip-prinsip dayakerja cemerlang, tempoh perkhidmatan dan potensi kepimpinan demi menjamin keadilan sementara mencungkil bakat kepimpinan
 
Manifesto BN: Memperkenalkan Skim Gaji Transformatif untuk penjawat awam, termasuk menyemak semula elaun dan menyediakan pergerakan gaji khas sebanyak 3 peratus kepada mereka yang mencapai gaji maksimum jika pada waktu itu tiada semakan gaji

Fakta: Barisan Nasional telah memperkenalkan skim gaji baru sejak beberapa tahun lalu. Perubahan skim perkhidmatan gaji kerajaan sentiasa berubah dari semasa ke semasa di bawah Barisan Nasional.

Kesimpulan : Hanya kerana Pakatan melancarkan manifestonya lebih awal apakah bermakna BN tidak boleh menimbulkan isu yang sama dalam manifestonya? Sebenarnya, Manifesto PP hanya indah dari khabar. Pakatan tidak perlu risau jika ada persamaan idea dalam Manifesto PP. Namun yang perlu PP risaukan ialah majoriti rakyat tidak percaya manifesto mereka yang “menjanjikan bulan dan bintang” tersebut boleh dilaksanakan. Ramai orang tidak percaya PP akan melaksanakan janji-janji mereka tersebut kerana janji-janji manifesto PRU12 tidak pun ditunaikan!.

No comments:

Post a Comment