ALOR SETAR - Naib Pengerusi 1 Interim DAP Kedah, Syed Araniri Syed Ahmad meletak jawatan berkuat kuasa serta merta kerana hilang kepercayaan terhadap kepimpinan parti, termasuk Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC).
Beliau turut melepaskan jawatan sebagai Pengerusi DAP Cawangan Taman Wira Mergong, namun pada masa sama, meragui keahliannya berikutan tidak memiliki kad keahlian sejak hampir dua tahun lalu.
Syed Araniri turut mendedahkan sikap parti itu yang double standard terhadap orang Melayu, apabila permohonan lebih 70 ahli Melayu dari pelbagai cawangan di negeri itu tidak diproses.
“Amat meragukan apabila saya dilantik sebagai Naib Pengerusi tanpa memiliki kad keahlian parti. Apabila perkara itu dibangkitkan, jawapan yang saya terima ialah tunggu.
Sampai bila perkara ini harus berlarutan, sudah dua tahun saya tunggu,” katanya.
Menurutnya, beliau menyertai DAP pada 15 Januari 2012 dan sebulan selepas itu menghantar permohonan keahlian, namun amat dikesali sehingga kini, ia tidak diproses.
“Ini bermakna saya menjadi ketua di cawangan ghaib kerana cawangan itu juga tidak didaftarkan, kemudian dilantik di peringkat negeri tanpa ikut prosedur sah.
Saya juga berhasrat menghantar surat aduan kepada Pendaftar Pertubuhan Malaysia (ROS) dalam masa terdekat,” katanya.
Syed Araniri turut menafikan tindakannya itu ada kaitan dengan PRK Dun Sungai Limau, sebaliknya menyifatkan sudah tiba masa kepincangan DAP didedahkan.
“Saya tiada kepentingan diri sebaliknya kecewa dengan sikap pemimpin DAP Pusat yang tidak menjaga kepentingan ahli Melayu dalam parti itu.
Permohonan lapan cawangan juga tidak diluluskan kerana dibarisi bukan pemimpin kroni,” katanya.
Menurutnya, ahli dan pemimpin Melayu dalam parti itu seolah-olah diperbodohkan oleh CEC, yang dikuasai tangan-tangan ghaib yang membuat keputusan sewenang-wenangnya.
“Yuran pendaftaran diambil, namun kad keahlian tidak diproses. Ke mana perginya semua wang itu,” soalnya. Syed Araniri berkata, berdasarkan buku perlembagaan DAP, pada klausa 10 (perlucutan keahlian), dinyatakan apabila diterima menjadi ahli, pemberitahuan bertulis akan diberikan selain dibekalkan buku perlembagaan, lencana dan kad keahlian.