Sunday 11 May 2014

KANTOI: Mohamed Nabi Bux bukan Ahli PAS...penyokong PAS tersepit..


Bekas Setiausaha Pas Cawangan Kampung Banjar, Batu Caves, Mohamed Nabi Bux Mohd Nabi Abdul Sathar, 63, cukup terkilan dengan sikap pimpinan dan penyokong Pas yang menuduhnya sebagai ahli UMNO. Beliau tidak berkecil hati jika Pas tidak membenarkannya bertanding atas tiket parti tetapi jangan cuba menuduhnya sebagai ahli Umno hanya kerana mahu bertanding di Bukit gelugor. “Jika tak mahu saya bertanding atas tiket Pas, beritahu saya secara terus terang. Saya tidak akan berkecil hati. Tapi janganlah menuduh saya bukan ahli Pas sebaliknya tuduh pula saya ahli Umno. “Saya ada bukti, malah semasa saya ke Pejabat Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) negeri tempoh hari, saya ada bawa bersama sijil keahlian Pas. Jadi, bagaimana boleh timbul saya ahli Umno,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Menurutnya, mungkin ada pihak beranggapannya sebagai ahli Umno kerana ada ahli parti itu yang mengikutkan pada hari berkenaan. “Mungkin yang ikut saya hari itu orang Umno, tapi saya tak kenal, itu bukan masalah saya. Saya bersumpah, sehingga hari ini, saya masih ahli Pas yang sah,” tegasnya.
Beliau turut bersedih apabila pemimpin tertinggi Pas sendiri menuduhnya bukan ahlinya sedangkan menyertai parti itu sejak 1998.

“Mungkin ahli Pas di negeri ini tidak kenal saya tetapi saya yakin, pemimpin tertinggi kenal saya. Saya masih tidak berubah wajah. Jika masih ada yang ragu-ragu lagi, mereka boleh rujuk kepada Adun Gombak Setia, Hasbullah Mohd Ridzwan. “Saya sangat terkilan dan dukacita dengan pemimpin tertinggi Pas yang sanggup memfitnah ahli sendiri semata-mata mahu menjaga hati beberapa orang pemimpin DAP. Saya tidak kisah jika mereka tidak mahu bantu saya, tetapi jangan tuduh saya macam-macam,” katanya.

Sebelum ini, Mohamed Nabi Bux menawarkan diri untuk bertanding dalam PRK Bukit Gelugor atas tiket Pas selepas mendaftar sebagai calon di pejabat SPR. Bagaimanapun, beliau mengakui belum meminta kebenaran dari pemimpin Pas Pusat berhubung perkara itu. Mengenai dakwaan itu, Mohamed Nabi Bux mencabar pemimpin Pas supaya membuktikan tindakannya yang ingin bertanding di PRK Bukit Gelugor itu melanggar mana-mana peraturan perlembagaan Pas. “Saya cabar kepada pemimpin yang tuduh saya, tunjukkan bukti yang saya ada melanggar mana-mana peraturan parti setelah saya daftar sebagai calon untuk bertanding.

Sijil keahlian Pas yang dibawa Mohamed Nabi Bux

“Terus terang saya katakan, jika bukan saya ahli Pas, mengapa ada tiga ahli Pas yang sudi bantu saya membayar deposit calon tempoh hari? Malah, ada seorang ahli Pas dari Kedah sudi bantu saya buat poster untuk berkempen. Mustahil mereka ahli Pas mahu bantu saya jika benar saya orang Umno,” katanya 

No comments:

Post a Comment