Tuesday, 27 May 2014

5 Anggota PKR Digantung Keahlian Kerana ‘Jujur’ Dengan Media

PKR bertindak menggantung keahlian lapan anggotanya selepas Lembaga Disiplin parti bermesyuarat semalam bagi meneliti kes berkaitan tatatertib dan disiplin susulan beberapa kontroversi yang tercetus semasa pemilihan baru-baru ini. Lapor The Malaysian Insider, lima anggota PKR digantung keahlian kerana mengeluarkan kenyataan kepada media dan disiarkan kepada umum.

Selain kesalahan tersebut, ada di kalangan mereka yang digantung juga didapati melanggar peraturan pemilihan parti, antaranya membuat ugutan dan menipu pengundian. Mesyuarat semalam dipengerusikan Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali dan turut dihadiri Ketua Umum, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim serta beberapa anggota biro politik lain.

Antara yang digantung kerana menggunakan saluran media bagi menyatakan rasa tidak puas hati mereka adalah bekas ahli Parlimen Kapar, S Manikavasagam dan empat anggota PKR lain iaitu Bobinath Vello, Sarimah Abdul Ghani, Md Yusop Kamaruddin dan Ahmad Jufliz Faiza. PKR menyifatkan tindakan menghebahkan kepada media tersebut melanggar peraturan pemilihan parti. Manikavasagam melanggar peraturan parti apabila menuduh Khalid mengamalkan politik wang secara terbuka yang disiarkan TV1 dan TV3 pada 11 Mei 2014 lalu. Bobinath, anggota cabang Kuala Selangor juga digantung atas alasan yang sama apabila kenyataan beliau disiarkan TV3 pada 11 Mei 2014.

Sarimah Abdul Ghani, anggota cabang Kampar digantung kerana kenyataannya disiarkan dalam Berita Harian pada 12 Mei 2014. Md Yusop digantung kerana mengkritik Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) dan parti di laman sosial Facebook. Manakala, Ahmad Jufliz pula digantung kerana mengeluarkan kenyataan kepada The Malaysian Insider semalam. Sementara itu, setiausaha politik Menteri Besar Selangor, Mustapha Mohd Talib juga tidak terlepas daripada tindakan penggantungan. Mustapha digantung keahlian kerana membuat ugutan terhadap Faridah, pembantu khas Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Melawati dengan menyuruhnya menamatkan khidmat Manikavasagam sebagai Penyelaras DUN Bukit Melawati.

Seorang anggota cabang Hulu Selangor, K Gunasekaran Kuppan pula digantung kerana bertindak agresif dan merempuh pintu masuk pengundian cabang Hulu Selangor serta menghentikan proses kiraan undi pada 11 Mei. Bagi kes penipuan semasa pemilihan, seorang anggota cabang Tanjung Karang, Noor Azman Samsuri digantung kerana menipu tandatangan pencadang bagi pencalonan beliau sebagai Ketua Cabang Tanjung Karang. Pemilihan PKR kali ini hangat apabila pendedahan dan kekecohan didedahkan serta menjadi tumpuan pemerhati politik.

Masuk minggu terakhir, dijangkakan pemilihan PKR akan menyaksikan lebih banyak kontroversi timbul.
Sebelum ini, JPP PKR juga bertindak membatalkan 27 pemilihan cabang berikutan kekecohan dan kegiatan penipuan undi.

No comments:

Post a Comment