Propaganda yang kerap digunakan sesetengah pihak berhubung pembunuhan
kejam Altantuya Shaariibuu dan dakwaan kaitannya dengan pimpinan negara,
ditangkis hari ini apabila arkitek urus janji kapal selam Scorpene,
Jasbir Singh Chahl, antara lain mendedahkan model Mongolia itu tidak
pernah menjadi sebahagian daripada pasukan rundingan itu. Bercakap buat kali pertama mengenai urus janji itu, Jasbir juga
bersumpah bahawa model itu tidak pernah berada di Perancis apabila
mereka cuba memuktamadkan perjanjian itu. "Saya bersedia bersumpah atas buku suci (agama) saya, Guru Granth Sahib
bahawa saya tidak kenal orang ini, bahawa dia tidak pernah menjadi
sebahagian daripada pasukan, tak pernah jumpa dia, bahawa dia tidak
pernah berada di Perancis semasa keseluruhan masa kami cuba untuk
memuktamadkan urus janji itu.
"Saya hanya tahu tentang dia apabila membaca akhbar pada 2006 bahawa mereka telah menjumpai mayatnya," katanya kepada The New Straits Times dalam laporan khas bertajuk Scorpene: The Untold Story, yang diterbitkan di sini hari ini. Jasbir juga menjelaskan jika Altantuya bertindak sebagai penterjemah
bagi Abdul Razak Baginda, seorang bekas penganalisis politik tempatan
yang membantu beliau menjadi orang tengah dalam urus janji itu, dia
sepatutnya hadir pada semua mesyuarat dari tahun 2000.
Sebaliknya, dalam satu dokumen rasmi Perancis yang diberikan kepada NST,
polis Perancis menyebut dengan tegas bahawa Altantuya tidak pernah
memasuki Perancis dari 1999 hingga 2006, tahun di mana dia meninggal
dunia.
Ia juga menyebut bahawa semua mesyuarat berlangsung di Perancis dengan
sebahagiannya di Malaysia dan semuanya dalam bahasa Inggeris."Ini apa yang saya katakan sekarang, anda faham. Inilah apa yang dikatakan oleh pihak berkuasa Perancis," kata Jasbir. Abdul Razak, yang merupakan rakan rapat Perdana Menteri, Datuk Seri
Najib Tun Razak, menonjol namanya pada 2006 apabila didakwa bersubahat
dalam pembunuhan Altantuya, 28, selepas dia cuba mengugutnya $500,000
daripada urus janji itu. Beliau dibebaskan pada 31 Oktober, 2008 apabila Hakim Mahkamah Tinggi Malaysia mendapati tiada kes prima facie ke atasnya walaupun dua anggota polis terbabit dalam pembunuhan itu didapati bersalah.
Menurut keterangan Abdul Razak di mahkamah, dia hanya bertemu Altantuya
pada akhir 2004, sementara urus janji Scorpene yang memasuki peringkat
rundingan pada 2000 selesai pada 2002. Menjawab satu soalan berhubung keperluan melantik Altantuya sebagai
penterjemah Abdul Razak, memandangkan beliau kerap dirujuk terutama
melalui laman blog, Jasbir secara sinis berkata: "Anda tanya saya kenapa
blog-blog ini asyik menjaja bahawa gadis ini penterjemah Razak. Anda
patut ajukan soalan itu kepada blog-blog itu."
Laporan khas itu menimbulkan keraguan mengenai keperluan mengambil
Altantuya sebagai penterjemah, apabila semua fakta menunjukkan bahawa
rundingan dengan syarikat Perancis dikendalikan dalam bahasa Inggeris. Sebenarnya, pasukan Perancis, pada awalnya diketuai seorang lelaki
Inggeris, Martin Hill, yang juga fasih berbahasa Perancis, kata laporan
itu. Sebagai tambahan, dalam keterangan kepada pihak berkuasa Perancis pada
2010, bekas pengurus pemasaran DCNS bagi Malaysia dan Singapura pada
masa itu, Fredric Faura, memberitahu para penyiasat bahawa tiada
keperluan bagi seorang penterjemah memandangkan rundingan itu dijalankan
dalam bahasa Inggeris dan rakyat Malaysia fasih dalam bahasa itu, kata
laporan itu.
Jasbir hairan kenapa tiada seorang pun mempersoal kewibawaan tokoh
pembangkang yang mengaku menghasilkan gambar kononnya menunjukkan
Altantuya dengan Najib dan Abdul Razak, di sebuah restoran di Paris. "Dengan pengakuannya, keseluruhan hubungan ini adalah hal peribadi
antara (Abdul) Razak dan Altantuya. Perjanjian beliau dengan wanita itu
tidak ada kaitan langsung dengan urus janji Scorpene. "Agak malang kerana ia berlaku serentak dengan tercetusnya isu urus
janji kapal selam. Razak satu-satunya orang yang ada kaitan dalam
perkara ini," katanya. Jasbir adalah bekas kakitangan Thomson-CSF International (M) Sdn. Bhd,
anak syarikat Thomson-CSF (sekarang Thales) Malaysia, dalam projek kapal
ronda pesisir pantai (OPV) Tentera Laut Diraja Malaysia, SHORAD (sistem
pertahanan udara jarak dekat) dan projek lain kepada Thomson-CSF dan
anak syarikatnya.
Pengalamannya yang luas dalam bidang ini menyebabkan Thales meminta
beliau untuk menganalisis, menilai dan membangunkan satu cadangan bagi
membekalkan kapal selam kepada Malaysia, yang menghasilkan pembelian
Scorpene, kata laporan itu. — BERNAMA
No comments:
Post a Comment