Sunday, 9 August 2015

ANTARA PPRINSIP DAN KUASA - RIDUAN TEE

Selaku anak jati perak,  saya amat geram apabila ultra kiasu mempertikaikan, malah menentang, perkara baik-baik yang cuba dilaksanakan oleh kerajaan negeri Perak, misalnya menyediakan kerusi khas untuk pasangan yang sudah berkahwin dan melarang mereka yang masih belum berkahwin duduk berdua-duaan ketika menonton wayang. Ini nilai-nilai baik, ajaran semua agama.
Semua kalangan kita pernah menjadi muda remaja. Kita tahu keadaan panggung wayang. Suasana gelap dan romantik. Masa itulah tangan akan berjalan-jalan, sama ada menyentuh mesra atau meraba. Apatah lagi jika cerita tersebut seram dan romantik.
Jika seram, pasangan akan dipeluk. Maklumlah perempuan takut dengan hantu. Bila cerita romantik, maka tangan mula meraba-raba. Ultra kiasu amat arif tentang perkara ini, sebab itu mereka menentang.
Perkara baik-baik sebegini tidak perlulah mendapat pendapat awam (public opinion). Kuatkuasakan sahaja. Tidak perlu takut, walaupun digertak ultra kiasu, yang mahu pihak berkuasa fokus pada perkara yang lebih penting seperti memberi khidmat lebih efisien kepada pembayar cukai, soal kebersihan dan lain-lain.
Hak untuk menjadi efisien itu, teruskanlah. Tidak siapa yang larang. Tetapi pada masa sama, amar makruf nahi mungkar kena beriringan. Tiada gunakan prasana tip top, jika manusia berkelakuan seperti haiwan. Sebab itu Konosuke Matshushita memberi nasihat, making people, before making products. Tidak hairanlah produk Jepun tahan lasak, kerana mereka membina insan terlebih dahulu, sebelum produk.
Kata-kata ini amat bertepatan dengan nilai-nilai Islam. Insan itu perlu dibangunkan terlebih dahulu sebelum yang lain-lain. Sebagai seorang yang mengaku beragama, sepatutnya kita menjadi insan, paling kurangpun dapat menguasai asas-asas hidup beragama. Jangan biarkah diri kita jahil, sehinggakan tidak ada panduan dalam hidup. Bertindak dan bercakap sesuka hati.
Realiti yang berlaku hari ini amat mendukacitakan. Pemimpin bercakap sesuka hati tanpa panduan dan landasan. Apatah lagi bila bercakap soal berkaitan agama. Misalnya, apakah salah berpeluk cium dalam lakonan asal hati baik dan bukan real pun?
Sebab itu dari dahulu saya katakan, jika tidak tahu, tanya orang yang lebih tahu. Atau lebih baik diam daripada berkata-kata atau mengeluarkan pendapat.
Ahli falsafah Cina adalah berkata, jika mahu menjadi pemimpin, pastikan rumah tangga dapat dijaga dengan baik. Bagi memastikan rumahtangga dalam dipimpin dengan, diri sendiri perlu menjadi baik. Bagi memastikan diri sendiri boleh baik, pastikan hati dipimpin dengan baik. Nak pastikan hati dijaga baik, asasnya adalah ikhlas.
Hari ini jarang jumpa pemimpin yang ikhlas. Kebanyakan menjadi pakar bodek. Sekelip mata berubah. Bagaimana kita mahu mengharapkan keadaan menjadi lebih baik.  Ini sokong membawa rebah.
Perkara ini juga berlaku dalam Pas, bila mana pemimpin  mereka memperlekehkan baiah yang mereka tandatangani dengan memberi berbagai alasan agar baiah tersebut terbatal. Jika sudah tahu baiah tersebut mengikat, tidaklah perlu tandatangan, atau menjadi calon Pas. Carilah parti lain. Ini tidak, bila dapat menang dan dapat kuasa. Sukar untuk dilepas. Maka, apabila sudah terikat, maka dicari jalan sedaya upaya untuk membebaskan ikatan tersebut. Mana boleh.
Kuasa itu amanah parti dan negara. Taat setia perlu ditumpahkan selagi berada di landasan benar. Sebab itu, saya ucapkan tahniah di atas, perlantikan Zahid Hamidi sebagai TPM. Saya amat bangga. Ketika menjadi menteri di JPM, ramai yang memuji Zahid kerana ketegasannya dalam isu-isu Islam. Begitu juga ketika menjadi Menteri Pertahanan dan Dalam Negeri. Sudah tentu rakyat menaruh harapan yang tinggi. Apatah lagi Zahid mempunyai asas yang kukuh.
Saya tidak fikir TPM baharu ini akan bercakap semborono seperti segelintir menteri lain. Bercakap tanpa asas. Saya harap Zahid akan bertegas dalam perkara prinsip dan asas. Jangan takut berhadapan dengan serangan ultra kiasu.
Selagi kita di landasan yang benar, rakyat terjamin, kita tidak perlu takut dan tunduk kepada tekanan. Yakinlah, jika kamu tolong Allah, nescaya Allah akan tolong kamu.
Sama juga usaha murni kerajaan Perak ini. Saya harap, kita tidak akan tunduk. Jika ultra kiasu mahukan kerosakan dan kebebasan tanpa had, biarlah dia terjun dengan labu-labunya. Paling penting, mereka yang mahukan kebaikan, mesti diselamatkan dari tangan-tangan jahat ini.
Saya amat yakin, kerajaan negeri Perak, dengan sokongan TPM, akan terus aman jaya, aman maju, makmur dan sejahtera. Saya amat yakin jika Gautama Buddha masih hidup, begitu dengan pemimpin agama yang lain, mereka pasti akan bersetuju dengan keputusan ini.
Justeru, janganlah ditanya lagi kepada ultra kiasu tentang perkara baik yang mahu dilaksanakan. Teruskan. Saya selaku rakyat marhaen, pasti akan menyokong. Carilah redha Allah, tidak perlu cari redha manusia. Redha Allah pasti akan memenangkan kita buat selama-lamanya, habuan akhirnya syurga, tetapi redha manusia belum tentu.
Biar penat di dunia, rehat di akhirat. Jangan sampai rehat di dunia, penat di akhirat. Paling baik rehat dunia rehat akhirat. Jangan sampai penat dunia, penat akhirat.

Profesor Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah, INSPIRE/PPI, UNISZA

No comments:

Post a Comment