CATATAN DARI PECAH PALAK MIKIR.....Aku Dan Ustaz Azizan: Catatan Kehilangan
Aku menemani Ustaz Azizan di KMC setelah beberapa hari tak bertemu
kerana urusan kempen pilihanraya. Beberapa kali dia berpesan kepada
rakan-rakan untuk menghubungi aku yang agak sibuk melaksanakan
tanggungjawab sebagai Pengarah MTD DUN Jeneri (aku adalah Timbalan
Pengarah 1 sebelumnya, terpaksa memangku pengarah yang dilantik sebagai
wakil calon). Kami hanya berhubung melalui telefon. Dia foward beberapa
sms dan nombor telefon yang memaki hamunnya sebelum dan selepas
calon-calon dimuktamadkan. Aku ber istighfar dan meminta dia terus
bersabar. Dia sudah buat yang terbaik untuk negeri, rakyat Kedah dan
parti. Tak ada apa perlu dikesalkan.
Beberapa kali dia merungut... "Depa tak mau dengar cakap kita dah.
Susunan dan cadangan kita diredah tanpa merujuk kepada kita lagi. Semua
orang boleh membuat keputusan untuk PAS Kedah. Kita di Perhubungan
Negeri sudah tak ada kuasa apa- apa. Pesuruhjaya ada ramai di Kedah ni".
Saya hanya mendengar dan menyelami keresahannya. Seorang Pesuruhjaya
tanpa kuasa di saat keputusan-keputusan besar perlu dilakukan.
Ramai orang lama PAS Kedah datang dengan rombongan mereka dari kawasan
-kawasan untuk memohon dikekalkan atau diganti calon-calon tertentu
dengan alasan yang tersendiri, Ustaz Azizan sudah letih melayani.
Katanya" Hampa kata hampa, yang aku cadang pun depa buang, depa
langgaq ikut suka depa, nak suruh aku pertahan hak hampa cadang lagu
mana. Hampa pi lah ke pejabat agong, aku sudah tak buleh buat apa-apa."
Setelah keputusan PRU diumumkan, barulah saya berkesempatan bertemu
dengannya, itupun dia sudah di KMC, mengadu sakit kaki dan demam. Kali
pertama mengunjunginya pada Isnin, dia sedang menjalani prosedur rawatan
di ICU, saya pulang jam 6 petang, setelah menunggu 2 jam. Salur darah
di kakinya tersumbat.
Esoknya, saya dimaklumkan oleh anaknya Mohamad Rafie, ayahnya mungkin
dirujuk ke IJN dengan kondisi kesihatannya yang tidak didedahkan. Saya
masuk menemui Azizan di ICU KMC jam 2 petang, dia mengalirkan air mata
setelah saya mencium tangannya yang sedang terbaring. Saya tak mampu
menahan lelehan airmata yang makin laju. "Sik macam mana dah? Aku tau
hang pulun nak bagi menang jugak, tapi ni semua takdir Allah. Kita
terlepas satu beban yang sangat besar. Hang bayangkan kalau kita menang,
dan aku ada dalam wad, tentu kacau bilau lebih besaq daripada awal 2012
hari tu". "Tak pa lah Ustaz, tok sah dok pikiaq pasai politik lagi, kita berubat bagi lega dulu". Aku jawab perlahan memujuknya.
"Kaki aku kebas, tak rasa apa-apa. Hang angkat aku sat, aku nak pi bilik ayaq". Sejak
beberapa bulan terakhir, terutama ketika dia mengadu tentang
calon-calon PAS Kedah, tekanan dalaman parti, sikap rakan-rakan parti,
caci maki melalui SMS yang diterimanya, saya sering sebak dan buntu. Apa
lagi yang tak kena, apa salah aku apa dosa kita... Dia merungut.
Tak ada siapa mai habaq dosa apa yang aku buat, main hentam jauh- jauh
saja. Mai lah cakap depan aku, apa salah aku. La ni semua pi panjat
tangga Pejabat Agong, kita di negeri dah tak laku. Biaq depa jawablah.
Beberapa kali dia menyatakan pada waktu ini PAS memiliki terlalu ramai pencatur politik
( munawarah al-siasiyah) dan kita ketandusan Al-Murabituun dalam
jemaah. Saya hanya mendengar dan membayangkan masa depan parti yang kian
mencabar. "Hang talipon bagitau Cikgu Pa, tanya dia aku nak lepas
jawatan Pesuruhjaya, minta pandangan dia, nak letak la ni ka atau lepas
muktamar"?
MB Kedah yang baru, Dato' Mukhriz sampai jam 3.00 petang. Saya
melihat dan mendengar perbualan mereka, seperti seorang bapa bercakap
dengan anaknya, tapi penuh hormat dan sopan. Ustaz Azizan meminta dua perkara untuk diberi perhatian atas kerja kerasnya selama 5 tahun, diteruskan. " Saya
nak minta tolong pada Dato' dua perkara, pertama tentang KUIN dan kedua
tolong teruskan pembinaan Ma'ahad Tahfiz Sains Pulau Tuba. Semua bajet
untuk itu sudah diluluskan". Dia masih sempat bergurau tentang
beberapa perkara. Sewaktu melangkah keluar dari bilik, MB Kedah itu
bersalam dengan aku dan berpesan. "Jaga Ustaz elok-elok".
Saya mengiringi Azizan ke General Hospital Pulau Pinang jam 3.30 petang
hari selasa 7 Mei 2013. Bersama saya anaknya Mohamad Rafie dan rakan
lamanya Saudara Mazlan. Sampai sana jam 5 petang, terus ke unit
kecemasan. Azizan masih sedar dan berbual. Dia berpesan beberapa kali
supaya terus bekerja memajukan PAS. Dia masih bertanya beberapa orang
calon yang menang dan yang tewas, termasuk Ustaz Afnan Hamimi Taib
Azamuddin di Kepala Batas.
Dia haus dan dahaga. Saya meminta cawan dan straw, dia minum beberapa
kali. Dia menjadi cemas dan memanggil saya apabila doktor memaklumkan
kakinya tidak dapat diselamatkan lagi. Dia berpesan beberapa kali, "Hang
jangan bagi depa potong kaki aku". Saya berjanji akan mencari ikhtiar
lain. "Jom kita balik, naik kereta pun tak pa lah". Katanya beberapa
kali.
Jam 7.30 malam, Ustaz Ali dari Alor Setar telah menunggu di Bukit
Minyak, Bukit Mertajam. Ada seorang pakar yang merawat kesan diabetis
yang lebih parah, tak perlu di potong. Saya bercadang membawanya ke
sana. Ustaz Ali pernah dirawat di situ. Saya menghubungi ambulan
daripada St John Ambulan, untuk membawa dia keluar, atas alasan nak
pulang ke KMC, tetapi nak singgah di Bukit Minyak. Ambulan yang lengkap
dengan alat bantuan pernafasan hanya boleh datang jam 8.30, saya
menunggu tidak sabar lagi. Saya keluarkan wang di mesin RM3 ribu untuk
kos ambulan dan rawatannya di Bukit Minyak.
Doktor tidak membenarkan saya mengambil risiko besar untuk membawanya
keluar kerana takanan jantungnya tidak stabil. Beberapa kali saya
berbincang dengan Tok Puan Faekah untuk mengambil risiko itu, tetapi
kondisi terakhir Ustaz Azizan tidak membolehkan kami membawanya keluar.
Kena tunggu jantungnya stabil baru kita bawa dia keluar. Saya dan Tok
Puan Faekah (saya panggil Kak) akur.
Saya mengambil beberapa keping gambar bahagian kaki Ustaz Azizan dan
memecut bersama Mazlan ke Bukit Minyak. Doktor Kumar memberi keyakinan
bahawa keadaan seperti itu masih boleh dirawat tanpa pemotongan. Hanya
bahagian hujung jari ibu kakinya perlu dibuang. "As long he still conciuos and you can bring him here, his leg can be safe, no need to cut it off".
Dia menunjukkan beberapa gambar dalam simpanannya yang lebih parah,
kaki yang hitam, isi yang tumbuh kembali selepas rawatan di situ. Saya
dan Mazlan lega dan gembira. Saya sudah temui penyelesaian alternaif,
amanah Ustaz akan tertunai. Saya membuat temujanji untuk membawa Ustaz
Azizan ke klinik itu seawal mungkin, sebaik sahaja dia membuka kliniknya
jam 2.00 petang.
Saya kembali kepada Ustaz Azizan, memberi keyakinan kepadanya bahawa
kakinya boleh diselamatkan. Dia tersenyum. "Jom kita pi la ni". Dia cuba
bangun. Saya dan Kak Faekah menerangkan nasihat doktor yang sedang
menstabilkan jantungnya. "Kita pi esok jam 2.00 petang. Ustaz tidoq dulu
bagi jantung stabil, jam 12.00 tengahari esok saya akan mai dan bawa
Ustaz keluar. Ambulan saya sudah panggil, depa dah ready untuk esok."
"Kalau macam tu, hang balik lah dulu, aku nak tidoq, kita jumpa esok".
Kata Ustaz Azizan. Saya menunggu hingga semua anak menantunya datang.
Mereka masih berbual dengan Ustaz Azizan, dan dipesan macam-macam
perkara sewaktu saya bergerak pulang untuk mengambil pakaian. Jam 3 pagi
saya sampai di rumah.
Jam 5.30 pagi, Kak Faekah menelefon tiga kali memaklumkan Ustaz tenat
dan koma. Saya bertanya beberapa kali, betulkah berita ni, sapa yang
bagitau Kak? Ahmad (anak Ustaz Azizan yang menunggu di wad) yang telepon
bagitau, Kak dok bersiap nak pi la ni. Jawab Kak Faekah. "Ahmad tau ka
tenat ka nazak tu macam mana, dia reti ka Kak?" Doktor yang bagitau
dia.... Mendengar itu saya bingkas mencapai seluar, bergegas ke Pulau
Pinang dengan Mazlan dan Shahril Rizal, bekas pengiring Ustaz yang
diarahkan kembali melapor diri ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah. Dia
tidak diperlukan lagi di Pejabat Menteri Besar kerana sudah ada yang
bersiap menggantikannya. Katanya dari Bukit Aman.
Saya masih berdoa Ustaz akan sedar dan mampu dibawa keluar jam 12
tengahari nanti. Di wad CCU, ustaz sedang dibantu dengan alat bantuan
pernafasan, lebam hitam di kaki kanannya sudah melarat ke sebelah kiri,
melepasi lututnya, terlalu pantas dan luar biasa. Kakinya sejuk. Dia
bernafas menerusi mulutnya saja. Saya terus berdoa, membaca Yaasin dan
membisikkan talqin. Dia seperti mendengar dan mengajuk. Kelopak matanya
berkedip-kedip.
Saya memaklumkan kepada pimpinan dan kawan-kawan dalam PAS Kedah kondisi
semasa Ustaz Azizan. Jam 10.30 pagi panggilan mula masuk meminta
pengesahan, benarkah Ustaz Azizan sudah tiada? Ada sebaran sms dan
tulisan di blog ke seluruh negara bahawa ustaz sudah meninggal. Dari jam
10.30 hingga jam 1.00, telefon saya tidak berhenti berdering, saling
bertindih panggilan yang masuk. Jawapan saya ringkas dan cepat. "Ustaz masih hidup, tetapi sedang koma, berita kematian itu palsu". (PPM Note.. cam tak sabar je puak-puak ni mendoa..)
Jam 2.00 saya ke surau, solat Zohor dalam fikiran yang bercelaru. Ustaz
tak dapat di bawa ke Bukit Minyak, walaupun semua persiapan telah
dibuat. Berita palsu ini pula sengaja dimainkan. Saya membayangkan
perasaan anak-anak dan isteri-isterinya. Saya solat dengan En Zahari,
Pegawai Daerah Yan. Dia mendahului saya saya satu rakaat. Saya masukkan
handphone yang hampir habis bateri itu ke dalam beg sandang, sesudah
berwuduk. Saya sandarkan beg itu di tiang di belakang saf saya, dan
memulakan solat jamak dan qasar.
Saya berpaling ke belakang sesudah berdoa. Beg sudah tiada. Saya meraba
poket, alhamdulillah, dompet yang tidak berduit masih ada, semua duit
ada dalam beg, termasuk bekalan yang saya siapkan untuk ambulan dan
rawatan di Bukit Minyak. Saya buntu dan mati kutu. Handphone saya ada
dalam beg itu. Saya mengingati apa lagi yang ada. Aduhhh! iPad,
pendrive, charger, parfume, pisau belati, buku cek, bil-bil, dan banyak
lagi.
Saya memaklumkan kepada Ustaz Hafiz Nordin yang kebetulan ada di situ,
dia cuba mendail nombor saya, tiada jawapan. Dia memanggil kawannya di
syarikat telekomunikasi untuk menamatkan talian saya, semua urusan itu
selesai di tanggnya.
Saya ke hulu ke hilir, mencari dalam tong sampah, belakang surau, dalam longkang dan tempat-tempat tersembunyi. Tiada!
Hingga malam itu, saya tidak dapat update keadaan semasa Astaz Azizan.
Ada sedikit masa terluang, saya ke maxis, ambil simcard baru dan sain
kontrak baru untuk dapatkan telefon yang lebih murah.
Saya update di facebook tentang kehilangan itu, ramai yang simpati dan
berdoa. Sejak hilang pada hari Rabu, saya tak terfikirkan apa-apa
tentang beg itu. Duit dan semua isi beg sudah ditakdirkan menjadi rezeki
pencuri. Saya berdoa supaya dia memulangkan apa yang dia tidak
perlukan. Saya halalkan apa yang sudah diambil dan dibelanjakan. Kalau
dipulangkan handphone dan iPad saya itupun sudah satu rahmat besar buat
saya.
Ketika membawa dua anak kecil ustaz ke Chowrasta membeli pakaian dan
keperluan diri, saya menerima panggilan daripada seorang wanita. "Adakah
encik kehilangan iPad?" Ya! Saya menjawab." Saya terkedu, seperti tak
percaya bila mendengar beg saya ada padanya. Saya menunggu di Balai
Polis Lebuh Keramat, hingga dia datang bersama ibunya. " Panjang
ceritanya Encik, adakah encik mahu report polis kes ini?" Saya kata tak
perlulah, asalkan saya dapat balik iPad saya.
Saya belanja mereka minum. Beg itu dicuri oleh seorang pemuda penagih
dadah, seorang anak muda 27 tahun yang dipelihara oleh ibu tirinya.
Ayahnya berkahwin dua, isteri pertama ayahnya memelihara dua anak angkat
dengan penuh kasih sayang, tetapi menjadi penagih dadah. Ibu
peliharaanya itu jatuh sakit dan tak mampu lagi mengawal anak belanya
itu. Dia anak isteri kedua ayahnya, tetapi sesekali dikunjungi oleh
'abangnya' itu meminta wang atau menumpang tidur. Pada tengahari hari
rabu, 'abangnya' datang meninggalkan sebuah beg berwarna coklat, katanya
beg itu milik kawannya.
Dia kurang percaya dan mula memeriksa beg itu, dia menelefon saya dengan
maklumat yang diperolehi dari iPad saya. Handphone dan wang tunai sudah
lesap, tetapi saya tetap bersyukur. Saya menghubungi ibu pemuda itu
yang sedang sakit, nombor telepon saya ambil dari anak tirinya. Saya
memaklumkan hal anaknya mencuri beg dan saya sudah mendapatkannya
semula. Saya ucapkan terima kasih dan memberi sedikit nasihat. Saya
ingin bertemu Mohd Nasrul Bin Daud!
Saya pulang ke rumah selepas 5 hari di Penang. Anak saya demam dan
isteri saya masih di klinik, sakit perut. Ustaz Azizan masih terlantar,
anak-anaknya, isteri-isterinya saya sudah aturkan penempatan dan
pergerakan mereka. Moga semuanya bersabar. Kita jumpa esok!
sumber
Bergitulah sistuasi Azizan dalam keadaan nazak sehingga akhir
hanyanya. masih ada yang suka memaki hamun kerana Qada dan Qadar
menentukan Kedah jatuh kepada BN. Dan sekarang pandai pula mereka cuba
memperalatkan nama arwah hanya untuk memenangi PRN Dun Sungai Limau.
Anda percaya ke tidak jika PRN Dun Sungai Limau PAS menang nama arwah
akan dilupakan dan jika sebaliknya lebih berganda-ganda diabaikan.