MURTAD
Rujukan dari Qanun Jinayah Syar`iyah: FASAL 6. MURTAD (dipetik dari sumber)
a. Perkara 90: Orang yang dianggap murtad.
1) Seseorang Islam tidak dianggap melakukan kesalahan murtad,
kecuali dengan adanya dua perkara berikut: i) Keluar dari agama Islam
(meninggalkan agama Islam), iaitu mereka tidak mempercayai lagi kebenaran agama
Islam, samada melalui iktikad (kepercayaan), atau melalui perbuatan, atau
melalui perkataan sebagaimana yang disebutkan dalam perkara 85 perenggan (a)
(b) dan (c).
ii) Mereka mempunyai niat sengaja melakukan perbuatan atau
mengeluarkan kata-kata yang menunjukkan kepada kekufuran, dan mengetahui bahawa
perbuatan yang dilakukan atau perkataan yang dikeluarkan itu membawa kekufuran
dan murtad.
2) Sesiapa yang melakukan suatu perbuatan atau mengeluarkan
sesuatu perkataan yang membawa kepada kekufuran, dan ia tidak tahu maksud
perbuatan dan perkataannya itu tidak boleh dihukumkan kafir dan murtad, dan
tidak boleh pula dikenakan hukuman hudud sebagaimana yang diperuntukan
3) Untuk menghukumkan seseorang Islam itu menjadi murtad bukan
hanya dengan melakukan perbuatan-perbuatan, atau mengeluarkan perkataan-perkataan
yang membawa kepada kekufuran sahaja tetapi mestilah juga disertai dengan niat
di hati untuk menjadi kafir.
Perkara 91: Hukuman yang dikenakan ke atas orang yang murtad.
1) Seseorang Islam yang telah murtad (keluar dari agama Islam)
wajib dibunuh tanpa perbezaan, samada lelaki atau perempuan, tua atau muda.
Hukuman ini adalah berdalilkan hadith Rasulullah saw yang diriwayatkan daripada
Ibn Abbas ra: "Sesiapa yang menukar agamanya (murtad) maka bunuhlah
dia." (Riwayat Bukhari. Sabulus Salam:3/265)
2) Mereka yang telah sabit kesalahan murtad dalam mahkamah
sebelum dihukum bunuh hendaklah disuruh bertaubat dan diberi tempoh kepada
mereka itu untuk bertaubat dalam masa tiga hari. Jika mereka enggan bertaubat,
maka mahkamah hendaklah mengisytiharkan hukum bunuh ke atasnya. Peraturan ini
adalah merujuk teguran Saidina Umar terhadap Abu Musa al-Asy`ari kerana
membunuh seorang yang murtad tanpa diminta bertaubat lebih dahulu. Katanya: "Kenapakah
kamu tidak mengurungnya dalam rumah selama tiga hari, dan kamu beri makan roti
kepadanya tiap-tiap hari mudah-mudahan ia bertaubat. Kemudian Saidina Umar
berkata: Ya Allah! sesungguhnya aku tidak hadir (ketika pembunuhan itu) dan aku
tidak menyuruh bunuh dan aku tidak redha pembunuhan itu dilakukan."
(Riwayat Malik dalam Muwatto`, Syafi`e dan Baihaqi.)
3) Peraturan syara` yang dikuatkuasakan dalam mahkamah bahwa
seseorang yang telah sabit kesalahan murtad sebelum mereka dihukum bunuh
disuruh bertaubat adalah merujuk hadith Nabi saw yang diriwayatkan daripada Jabir
ra mengenai kes seorang perempuan bernama Ummi Marwan telah murtad. Kes ini
telah disampaikan kepada Nabi saw, lalu baginda memerintahkan supaya perempuan
itu bertaubat. Jika ia enggan bertaubat maka ia bolehlah dibunuh.