Tuesday 10 February 2015

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Pengasih

Semalam, Ketua Pembangkang yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menerima ketentuan dan takdir Illahi, apabila hukuman penjara terhadapnya oleh Mahkamah Rayuan dikekalkan oleh Mahkamah Persekutuan.
Saya teringat pada tahun 1998 lalu apabila Anwar dipecat daripada jawatan Timbalan Perdana Menteri, boleh dikatakan puluhan ribu penyokongnya berkumpul di Masjid Negara dan di serata negeri mengadakan solat hajat memohon Allah menunjukkan kebenaran.
Malah, penyokongnya berdoa diturunkan bala terhadap pemimpin kerajaan yang ada ketika itu, khususnya terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad, ketika itu (kini Tun).
Sejak daripada itu, satu demi satu kebenaran telah ditunjukkan.
Apa yang ditunjukkan?
Yang terbesar yang mengaibkan Anwar ialah beliau dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan meliwat pemandu isterinya, Azizan Abu Bakar, pada tahun yang sama dipecat. Beliau disabitkan dengan pertuduhan itu dan dijatuhkan hukuman penjara sembilan tahun oleh Mahkamah Tinggi, sebelum dihantar ke penjara.
Namun, pada September 2004, setelah hampir enam tahun di penjara, Mahkamah Persekutuan menerusi keputusan 2-1 mengetepikan tuduhan liwat itu dan membebaskan beliau, kerana masalah teknikal, tetapi, dalam penghakiman mereka hakim yang bersidang mengekalkan fakta bahawa perlakuan liwat itu memang berlaku. Anwar dibebaskan.
Kemenangan isterinya, Datin Seri Wan Azizah Ismail, pada pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh, pula adalah ketentuan Illahi juga dan penyokongnya menganggap ini menunjukkan seolah-olah ‘Anwar tidak terkena bala’.
Kemudian, Wan Azizah meletak jawatan Ahli Parlimen untuk memberi peluang kepada Anwar mengambil semula kerusinya pada pilihan raya kecil. Beliau menang dan kemenangan itu menunjukkan seolah-olah, Anwar selama ini tidak bersalah dari segi salah laku dan sebab itu Allah memberi kemenangan kepada beliau. Ini yang penyokongnya ‘rasa’ dan mereka menerima ketentuan baik itu.
Doa penyokongnya supaya Allah menunjukkan kebenaran-Nya sekali lagi Allah dimakbulkan. Mereka gembira dan menerima ketentuan itu dan menguatkan lagi ‘kepercayaan’ mereka bahawa Anwar selama ini tidak bersalah.
Namun, Anwar dituduh pula meliwat pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan. Kes dibawa ke semua mahkamah, sehingga ke mahkamah paling tinggi dalam sistem keadilan di negara kita – Mahkamah Persekutuan.
Dan, hari ini Allah menunjukkan kebenaran-Nya apabila Mahkamah Persekutuan mengekalkan keputusan memenjarakan Anwar kerana meliwat Mohd Saiful. Sekali lagi ketentuan buruk ditunjukkan oleh-Nya terhadap Anwar. Maka, wahai penyokong Anwar, terimalah ketentuan Allah itu, sebagaimana menerima ketentuan baik terhadap Anwar.
Hayatilah maksud terjemahan ayat al-Quran ini. “Sesungguhnya keadaan kekuasaan-Nya apabila Dia berkehendakkan adanya (berlaku) sesuatu, hanyalah Dia berfirman kepada (hakikat) benda itu: “JADILAH ENGKAU!”. Maka IA TERUS JADI.” (Surah Yassin ayat 82)
HABAQ MAI: Tidakkah itu ketetapan Allah dan kebenaran yang diminta ditunjukkan oleh penyokong-penyokongnya pada perhimpunan di Masjid Negara pada 1998 lalu?

No comments:

Post a Comment