Kematian Chin Peng ketika rakyat meraikan Hari Malaysia yang Ke-50
semalam cukup ironik. Lelaki itu mati dalam buangan selepas kerajaan
bertegas dengan ketetapan tidak membenarkan bekas Setiausaha Agung Parti
Komunis Malaya (PKM) itu menjejaki semula negara ini.
Bagi yang mentaati sejarah, mereka memahami kenapa Chin Peng yang lebih
dikenali sebagai 'Butcher Of Malaya' atau 'Penyembelih Malaya' tidak
mendapat keampunan daripada kerajaan.
Namun, ada pula politikus dan aktivis-aktivis jalanan pembangkang tanpa
segan silu memahkotakan Chin Peng itu sebagai hero kemerdekaan. Lelaki
itu diangkat menjadi patriot kononnya membuka jalan kepada kemerdekaan
sehinggalah wujud Malaysia yang ada hari ini.
Maka, satu persatu pimpinan pembangkang bercakap soal keadilan dan
kemanusiaan - modal untuk memaksa rakyat negara ini menerima fakta
songsang bahawa Chin Peng itu adalah seorang patriot!
Lantas fakta-fakta sejarah dipersenda, dimanipulasi dan cuba diubah
supaya rakyat terutamanya generasi muda tidak mahu mempercayai lelaki
bernama Chin Peng ini mengetuai sebuah gerila yang membunuh dan menyiksa
ribuan nyawa rakyat negara ini.
Penulis tertarik untuk mengulas pandangan yang mengatakan kalau kita
boleh memaafkan penjajah Inggeris dan Jepun, kenapa kita tidak boleh
berbuat perkara yang sama ke atas Chin Peng? Dihujahkan juga, lelaki itu
berasal dari Sitiawan, Perak, kenapa dia tidak berhak untuk datang dan
mati di tanahairnya sendiri?
Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Dr. Dzulkefly Ahmad dalam portal
Malaysiakini semalam menarik perhatian bahawa kerajaan sepatutnya
membenarkan Chin Peng dikebumikan di negara ini "sebagai tanda kemuliaan
hati dan harga diri negara ini" sempena sambutan Hari Malaysia.
Dr. Dzulkefly dipetik portal itu sebagai berkata: ``Tindakan British dan
Jepun juga melampau tetapi kita memaafkan mereka, kita melupakan dan
berbaik dengan mereka semula. Chin Peng memerangi Jepun dan kemudian
penjajah British. Beliau juga pernah diberi penghormatan oleh Queen."
Kenyataan itu mengundang pelbagai komen pembaca. Saya tidak pasti,
tetapi portal yang sering dikaitkan sebagai propembangkang itu
melepaskan banyak komen yang bersetuju dengan pandangan Dr. Dzulkefly.
Ada juga yang memberi komen ``kalau Tuhan boleh mengampuni, kenapa tidak
kita? Adakah manusia lebih suci dari Tuhan?" lalu disokong pula dengan
pandangan "zaman Rasullullah dahulu, baginda kehilangan sahabat yang
tewas dalam memperjuangankan Islam, lebih tragis dari peperangan
komunis. Adakah baginda ada berdendam?."
Dr. Dzulkefly nampaknya mengangkat isu ini dari perspektif yang salah,
apatah lagi mengetepikan sama sekali faktor sejarah. Dr. Dzulkefli
bercakap soal 'kemuliaan hati dan harga diri' tetapi tidak pula
memikirkan hati dan perasaan ahli-ahli keluarga mereka yang terkorban
akibat kekejaman komunis. Bukankah mereka yang lebih layak untuk
memaafkan atau sebaliknya?
Dr. Dzulkefly mempersoalkan kenapa kita mahu membeza-bezakan Chin Peng
dengan penjajah Jepun dan Inggeris? Sama seperti penjajah lain, Jepun
dan Inggeris datang menyerang dan mahu menjajah Tanah Melayu. Tetapi
Chin Peng ini mengaku anak jati Tanah Melayu (Sitiawan, Perak) tetapi
beliau membunuh dan menyiksa dengan kejam penduduk Tanah Melayu.
Pendek kata, dia menyerang dan membunuh rakyat negaranya sendiri. Dia
bukan sahaja layak dicop pengganas, malah seorang pengkhianat bukan
sahaja kepada orang Melayu, tetapi juga Cina, India dan lain-lain. Jadi,
layakkah pengkhianat yang bersifat durja sebegini diangkat sebagai
patriot?
Penulis terbaca beberapa tulisan termasuk belangsungkawa oleh portal
berita Malay Mail Online yang menggambarkan sikap lemah-lembut dan
toleransi Chin Peng di penghujung usianya. Hatta tangannya yang lembut
ketika bersalaman juga dijadikan bahan untuk mempotretkan betapa lelaki
itu seorang yang budiman. Ada juga yang mengupas buku "My Side of
History" nukilan Chin Peng yang menceritakan cerita syahdu betapa dia
mahu "kembali dan mati dengan aman" di Malaysia.
Hakikatnya, orang seperti Chin Peng tidak wajar dihakimi dengan
perwatakannya hari ini, apatah lagi menilai keindahan bahasa dalam buku
tulisannya. Pengkhianat seperti ini selayaknya dihakimi atas darah dan
nyawa yang dizalimi ketika usia mudanya. Kita tidak boleh memaksa rakyat
melupakan apatah lagi memaafkan semua kekejaman yang dilakukannya.
Kalau pun Dr. Dzulkefly dan pemimpin parti sekutunya DAP dan PKR
memandang jelik fakta-fakta sejarah, jagalah hati dan perasaan mangsa
atau ahli keluarga mangsa kekejaman komunis. Banyak perkara mengenai
kekejaman komunis tidak tercatat pun dalam sejarah, tetapi diceritakan
sendiri oleh mangsa dan ahli keluarga mereka yang masih hidup.
Penulis biasa diceritakan bagaimana ada keluarga Melayu dan Cina
dikuburkan hidup-hidup pengganas komunis. Ada orang yang disula dan
digantungkan di pokok. Di sebuah kampung di Batu Pahat Johor, pernah
penduduknya mati dalam keadaan menyayat hati apabila dihumbankan ke
dalam minyak panas bawah kawah besar.
Pernah juga diceritakan di Kampung Simpang Kiri, Johor bagaimana
pengganas komunis menjadikan surau sebagai tempat berhibur dengan
meminum arak. Di situlah juga pengganas komunis tergamak memperkosa
wanita-wanita Melayu di hadapan keluarga mereka sendiri.
Peristiwa seumpama juga disimpan terutamanya oleh generasi terdahulu di
Bahau, Negeri Sembilan; Sekinchan, Selangor; dan di Sungai Manik, Perak.
Tidak semua perkara ini pun tertulis dengan terperinci dalam buku
sejarah, tetapi mereka-mereka ini tahu sikap sebenar Chin Peng. Jadi,
Dr. Dzulkefly dan pencinta Chin Peng tidak layak untuk menghakimi apatah
lagi hendak bercakap soal "kemuliaan hati dan kemaafan".
Kalau ditanya waris-waris askar Melayu yang hilang kaki, tangan dan
hilang nyawa akibat dibom dan terkena jerangkap samar PKM pastinya tidak
akan rela Chin Peng dimahkotakan sebagai pejuang kemerdekaan negara,
malah mereka akan merestui jika lelaki itu ditembak sampai mati.
Kenyataan Dr. Dzulkefly disambut dengan komen yang mengangkat hujah
bahawa Nabi Muhammad tidak berdendam walaupun ada sabahat baginda tewas
dalam memperjuangkan Islam. Ada juga yang berhujah bahawa Tuhan itu maha
pengampun, kenapa tidak kita?
Chin Peng bukan orang Islam, tetapi kita khususnya umat Islam perlu
ingat bahawa Allah tidak pernah mengampunkan pengkhianat. Sejarah Islam
menceritakan bagaimana pengkhianat seperti Abdullah bin Ubay tidak
diampunkan sehingga akhir hayatnya. Dia tidak diberi keampunan, malah
dilaknat dunia akhirat.
Dr. Dzulkefly dan rakan-rakannya dalam DAP tidak wajar membiarkan rakyat
terutamanya generasi muda dimomokkan dengan fakta songsang yang
kelihatan rasional, tetapi diutarakan dengan cara yang cukup dangkal.
Kita tidak sepatutnya mendidik anak bangsa memahami sejarah supaya
mereka ada jati diri dan mencintai negara.
Jangan kita tergamak mendidik mereka untuk menolak kebenaran sehingga
mereka buta hati dengan menghargai kejahatan dan kebatilan.terima kasih kepada Panglima Harimau